Sunday, January 17, 2010

Negara salinan

Jabatan Pendaftaran Negara: "Kad pengenalan bermutu tinggi berserta cip dapat mengurangkan penggunaan borang dan mempercepatkan urusan dengan agensi kerajaan dan swasta".

Bila aku ulang balik ungkapan itu kepada seorang guru (ketika urusan kemasukan sekolah anak-anak), guru tersebut terus tersenyum lalu jawapnya "semua orang kena isi borang dan adakan salinan-salinan ......., begitulah setiap tahun". Sebenarnya aku dah tahu 'budaya salinan dan pengesahan' di negara yang mahu menjadi setaraf Dunia Pertama. Aku belum jumpa walau satu pun jabatan kerajaan yang tidak perlukan budaya ini.

Dokumen pendaftaran murid lebih rigid dari permohonan kad kredit. Sijil kelahiran lebih laku dari mykid atau kad pengenalan, maklumat pendapatan isirumah dan tanggungan pula mesti disahkan .....jangan lupa salinan!
Macam buat banci penduduk. Cakap pasal banci, kenapa sekolah (atau agensi kerajaan) tidak ambil data dari Jabatan Perangkaan, Jabatan Pendaftaran atau JHDN secara terus dengan hanya nombor rujukan tertentu? Aku pelik apa perlunya sijil nikah ibubapa untuk pendaftaran murid........

Agensi kerajaan sebenarnya masih belum merdeka. Rakyat perlu menunjukkan bukti (dokumen) bahawa apa yang mereka tulis di borang adalah betul dan pengesahan salinan akan mengukuhkan maklumat tertulis. Secara tak langsung, ini membuktikan agensi kerajaan masih bergantung kepada rakyat sendiri untuk menyedia dan mengesahkan maklumat. Patutlah ramai kontraktor berani menipu dari segi kualiti projek, sebab kerajaan hanya patuh kepada maklumat yang tesedia. Kalau tertangkap pun hanyalah selepas jambatan runtuh! Begitu juga kes pembalakan haram, hanya bertindak selepas Karam Singh berpantun di TV.

Kebanyakan negara maju, kad pengenalan rasmi tidak wujud. Ini disebabkan perlindungan akta maklumat peribadi. Hanya nama dan alamat yang perlu untuk pengenalan, atau berserta tarikh lahir dan nombor telefon. Tetapi urusan dengan rakyat sangat cekap. Tiada borang atau sangat mimina atau boleh diisi online tanpa perlu dicetak. Orang nak tipu pun tak berani sebab kerajaan boleh membuktikan sebaliknya samaada sertamerta atau pada tarikh yang ditetapkan. Aku masih ingat ketika tinggal diluar negara, seorang kakitangan kerajaan memohan maaf sebab lewat 47 minit menyediakan dokumen daripada waktu yang dijanjikan. Aku hanya membalas 'Ok...' lantas tercetus pengalaman dengan pejabat tanah di Ipoh dan Selayang yang sudah memakan tahun tanpa khabar berita (aku tahu, sendiri kena rajin panjat tangga).

Lalu terdetik lagi, kemungkinan guru atau penjawat awam (yang jahat la) menggunakan maklumat peribadi kita untuk tujuan yang tidak kita restui?  

No comments:

Post a Comment